Thursday, December 30, 2010

Thursday, December 23, 2010

Cerita Jenaka

Humor apa kau bawakan kali ini
yang pasti bukan untuk diketawa.
Kau. Susuk jenaka seram.

Badut, pernah kau katakan pembunuh rasa
Sarkas, jika tak salah, adalah tempat sembelih
manusia ditipu jenaka.

Tangan tangan hitam
dari beranda langit
adalah muka-muka badut palsu;
mengawal dunia jenaka
penjaga penjara manusia
ditipu jenaka.
Ditipu jenaka.

Bodoh, kata kau.
Manusia bodoh.

Tiba-tiba kau ketawa.

Terbahak bahak!

23 Disember 2010

_____________________________________________
* dunia sedang 'dikawal'. Kita sedang 'dipenjara'*

Cerita Meon

Semalam Meon terpijak lipas.
Lipas mati. (Terburai isi-isi perut)
Meon tambah tambah geli.

Tadi Meon sama sama mata airnya
jalan sama sama pimpin tangan.
Meon lagi bertambah-tambah geli.

Meon, Meon.

23 Disember 2010

Cerita di Petang Merah

Angin liar
di petang merah
Langsir berkibar
menambah gelisah.

Buku ternganga
dibelek angin
Ia dewasa
di musim dingin.

Dewasa?

Hoi, jangan bikin aku ketawa!

23 Disember 2010

_____________________________________________
*seseorang di sekelilingku yang 'baru' sedar dia sudah dewasa.*

Wednesday, December 22, 2010

Once


Santai. Jujur. Begitu lanskap indah yang terbayang-bayang dalam kotak minda aku.

Filem ini sungguh bersederhana. Tidak terlalu berlari. Dan tidak mementingkan jalan cerita. Disinilah kesinambungan dan realiti hidup yang mengalir pada ‘keintiman’ alur hubungan yang ‘tak terungkap’ antara dua watak utama ini.

Bagi yang mencari nilai-nilai ‘jiwang korea’, maaf, ini bukan filem untuk anda. Tapi jangan hampa. Kerana Romantisme yang dimainkan dalam filem ini sangat mendalam dan mencapai realisme hidup seharian.

Aku selalu menyukai filem yang dekat dengan perasaan yang kita rasai dalam hidup. Tak dibuat-buat, bukan fiksyen, malah itulah ‘rasa’ yang sama yang kita syahdui dari waktu kita bangun tidur hinggalah kembali berselimut dan bersunyi di tengah malam.

Antara inti-inti yang meluhuri filem ini sendiri ialah aduan atau campuran rasa ‘bersendiri’ dengan cipta indah lagu-lagu yang disenandung. Kedua-dua sebatian ini, iaitu sunyi dan muzik berjaya dijujuri dan diluhuri. Menambah syahdu, lirik-lirik lagu kesemuanya berjaya dihantar dengan situasi atau kata hati yang tepat dan dalam.
Dalam baris-baris rentak dan liriknya tersuntik rasa sunyi, hening,duka dan ria.

Dan, inilah titik penting yang paling aku kagumi dalam filem ini: Penamat cinta yang tak tersampai antara dua watak utama.

Aku benar benar selesa dengan penghantaran kisah romantisme ini yang banyak bersembunyi pada wajah ‘senyum’ mereka. Muka nampak steady, tapi hati. Filem ini tidakpun menunjuk apa yang dua watak utama ini rasai dalam hati mereka, tapi disinilah detik paling manis apabila pengarah berjaya menyingkap ‘wajah’ hati sebenar, sudah tentu, dengan penuh jujur dan damai.

Luahan rasa melalui muzik yang diungkap oleh mereka untuk cuba memahami ‘cinta’ sesama sendiri rupanya masih diselimut kekaburan dan syak wasangka, takut-takut masing-masing cuma bersyahdu sendiri. Dan, sekali lagi, ini juga dimainkan dengan penuh ‘senyum’ dan bersembunyi.

Sehinggalah babak akhir filem, aku masih tetap menyukai ‘cinta tak tersampai’ ini tanpa dipupuk rasa simpati. Malah mengejutkan, aku mampu berbisik sendiri, bahawa inilah suatu realiti kehidupan yang sentiasa berfalsafah tentang adanya pertemuan dan adanya perpisahan.

Masing-masing menanggung beban rindu yang tak berbalas, namun sedar, masih ada cinta pertama yang perlu dipertanggungjawabkan. Akhirnya, mereka kembali kepada kekasih asal. Tamat.

Ditulis 28 Julai 2010


_____________________________________________
*ops, puisi ke artikel? Err..laptop member ni tak ada microsoft word. tak boleh nak tulis puisi-puisi baru.*