Thursday, December 30, 2010

Thursday, December 23, 2010

Cerita Jenaka

Humor apa kau bawakan kali ini
yang pasti bukan untuk diketawa.
Kau. Susuk jenaka seram.

Badut, pernah kau katakan pembunuh rasa
Sarkas, jika tak salah, adalah tempat sembelih
manusia ditipu jenaka.

Tangan tangan hitam
dari beranda langit
adalah muka-muka badut palsu;
mengawal dunia jenaka
penjaga penjara manusia
ditipu jenaka.
Ditipu jenaka.

Bodoh, kata kau.
Manusia bodoh.

Tiba-tiba kau ketawa.

Terbahak bahak!

23 Disember 2010

_____________________________________________
* dunia sedang 'dikawal'. Kita sedang 'dipenjara'*

Cerita Meon

Semalam Meon terpijak lipas.
Lipas mati. (Terburai isi-isi perut)
Meon tambah tambah geli.

Tadi Meon sama sama mata airnya
jalan sama sama pimpin tangan.
Meon lagi bertambah-tambah geli.

Meon, Meon.

23 Disember 2010

Cerita di Petang Merah

Angin liar
di petang merah
Langsir berkibar
menambah gelisah.

Buku ternganga
dibelek angin
Ia dewasa
di musim dingin.

Dewasa?

Hoi, jangan bikin aku ketawa!

23 Disember 2010

_____________________________________________
*seseorang di sekelilingku yang 'baru' sedar dia sudah dewasa.*

Wednesday, December 22, 2010

Once


Santai. Jujur. Begitu lanskap indah yang terbayang-bayang dalam kotak minda aku.

Filem ini sungguh bersederhana. Tidak terlalu berlari. Dan tidak mementingkan jalan cerita. Disinilah kesinambungan dan realiti hidup yang mengalir pada ‘keintiman’ alur hubungan yang ‘tak terungkap’ antara dua watak utama ini.

Bagi yang mencari nilai-nilai ‘jiwang korea’, maaf, ini bukan filem untuk anda. Tapi jangan hampa. Kerana Romantisme yang dimainkan dalam filem ini sangat mendalam dan mencapai realisme hidup seharian.

Aku selalu menyukai filem yang dekat dengan perasaan yang kita rasai dalam hidup. Tak dibuat-buat, bukan fiksyen, malah itulah ‘rasa’ yang sama yang kita syahdui dari waktu kita bangun tidur hinggalah kembali berselimut dan bersunyi di tengah malam.

Antara inti-inti yang meluhuri filem ini sendiri ialah aduan atau campuran rasa ‘bersendiri’ dengan cipta indah lagu-lagu yang disenandung. Kedua-dua sebatian ini, iaitu sunyi dan muzik berjaya dijujuri dan diluhuri. Menambah syahdu, lirik-lirik lagu kesemuanya berjaya dihantar dengan situasi atau kata hati yang tepat dan dalam.
Dalam baris-baris rentak dan liriknya tersuntik rasa sunyi, hening,duka dan ria.

Dan, inilah titik penting yang paling aku kagumi dalam filem ini: Penamat cinta yang tak tersampai antara dua watak utama.

Aku benar benar selesa dengan penghantaran kisah romantisme ini yang banyak bersembunyi pada wajah ‘senyum’ mereka. Muka nampak steady, tapi hati. Filem ini tidakpun menunjuk apa yang dua watak utama ini rasai dalam hati mereka, tapi disinilah detik paling manis apabila pengarah berjaya menyingkap ‘wajah’ hati sebenar, sudah tentu, dengan penuh jujur dan damai.

Luahan rasa melalui muzik yang diungkap oleh mereka untuk cuba memahami ‘cinta’ sesama sendiri rupanya masih diselimut kekaburan dan syak wasangka, takut-takut masing-masing cuma bersyahdu sendiri. Dan, sekali lagi, ini juga dimainkan dengan penuh ‘senyum’ dan bersembunyi.

Sehinggalah babak akhir filem, aku masih tetap menyukai ‘cinta tak tersampai’ ini tanpa dipupuk rasa simpati. Malah mengejutkan, aku mampu berbisik sendiri, bahawa inilah suatu realiti kehidupan yang sentiasa berfalsafah tentang adanya pertemuan dan adanya perpisahan.

Masing-masing menanggung beban rindu yang tak berbalas, namun sedar, masih ada cinta pertama yang perlu dipertanggungjawabkan. Akhirnya, mereka kembali kepada kekasih asal. Tamat.

Ditulis 28 Julai 2010


_____________________________________________
*ops, puisi ke artikel? Err..laptop member ni tak ada microsoft word. tak boleh nak tulis puisi-puisi baru.*

Saturday, November 20, 2010

(Elergi buat As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya)

Darahnya mengharumi perjuangan
suci menguntum jiwa-jiwa mulus dan kudus
memugar subur setiap benih ad-deen
sekalipun jihad ia disantap peluru M-16

Derita ia sembahkan dalam munajat
dibasahi embun fajar diiringi jutaan malaikat
diluhuri budi berkat ia sulamkan madah keramat
meranum roh syuhada ke taman-taman akhirat

Wujuh memancar kudus dalam cermat
niat dan tekad terpahat di kalam satu juang.
Teriak sendu isteri mencambah kukuh azimat
bahawa pemerintah bukanlah kuasa paling gemilang.

Datangilah sejuta serdadu merobohi pagar jihadku
iringilah jeneral teragung takkan mendesak gemuruh debarku
gubuk kecil atau mahligai permai tegap berpasak sama
jagat yang menghijab kita hanyalah syurga dan neraka

Keringat aku bukanlah muncung senjata bersembunyi,
bahkan perjuangan menjulang Takbir sabda suci…..


Mengenang Peristiwa Memali 19 November 1985
-K.muhami-
November 2009

Friday, November 19, 2010

Pagi di Tasik

Ada kabus yang tebal
Membutakan kau.aku.
Teraba-raba.
Tersegan-segan.
Kita sendiri. keharuan.

Kabus. Pagi biru
Tasik tersenyap syahdu.
Percaya. Masih
keharuan lagi.

15 November 2010

Wednesday, November 17, 2010

Kembali

Takkan
ada
hujan
kelak.
Takkan.

18 November 2010

Hingga Akhir Nil

Tabah
bagai Nil
walau beribu batu
menjangkaui masa
untuk sampai ke
hilirnya..

Dari hulu
Mulanya sukar
Dihempas uji cabar
Dihanyut gelora debar
Hingga hilirnya
Terbentanglah
Luas lautan ilmu
yang jitu.

Jadilah lautan
Yang mencurahkan hujan
Untuk setiap di hulu
Moga sejahtera mengalir
Hingga akhir sungai Nil.

31 Disember 2009

_____________________________________________
*puisi kekaguman saya terhadap seorang mahasiswa el-Azhar. Salam eid-Adha. Kullu Aam Waantum bikhoir*

Saturday, November 13, 2010

November

Telah ku habis
kata-kata
melukisi
kesayuan ini.

November lesu.
Sepanjang
aku syahdu.

12 November 2010

_____________________________________________
*Semakin hampir tarikh 23hb, semakin aku terasa keracauan dan kesempitan.*

Wednesday, November 10, 2010

Takdir

Gelisah itu hebat degupnya
dari yang jauh kini di mata
sudah ditatap turun ke hati
membelai nurani kasih bersemi

Jangan diucap rindu yang berlagu
takkan dilari takdir menentu
diamkan saja hati yang gelora
pasti terlerai dihanyut cita

Relakan andai takdir sebaliknya
ikhlas menerima walau terluka
bukan bermakna tidak berupa
pasti yang baik itu gantinya

Cantik dan jelita tiada di mata
apat lagi harta warisnya
berbekal iman padu dikalbu
kelak mewarnai bahtera hidupmu

Serahan takdir berkias berkat
hiasi dunia menuju akhirat
mohon dikurnia setiap yang syahdu
penyejuk di mata penawar di kalbu

Kasihnya ibu menyemai rindu
utusan cahaya kurnia Ar-Rozzaqu
zuriat nan kecil menatap dunia
menderap langkah perjuangkan agama

11 Julai 2009

_____________________________________________
*hampir lebih setahun puisi ini. termenung...*

(tanpa tajuk)

Kesunyian adalah
suatu keanehan;
Ditangisi.
Dinikmati.

10 November 2010




Tuesday, November 9, 2010

Salam Syahdu

Jauh segala kembara usia
Dan kini,
ketika malam
sangat berbintang
diri ternampak matang.

Kira-kirakan berapa
bintang berselerak
di langit gelap;
Akan terisi
lara dan ria
perih segala ibu bapa
anaknya. kini dewasa.

Salam pilu
usia yang lalu.

Salam syahdu
usia mu baru.

9 November 2010

_____________________________________________
*ada dua ghodong yang menyambut ulang tahun kelahiran pada hari ini. seorang di mesir. seorang lagi sedang tenggelam di antara helaian-helaian kertas peperiksaan. Akan dikenangi sebagai hari yang syahdu buat mereka; usia menyentuh dewasa*

Sunday, November 7, 2010

Sunyi

Langitan termaha sunyi
Senja yang menyepi
Seakan kata. Tak jadi.

Tak ada tanda hujan
Seakan kata. Sembunyi.
Senjanya pilu lagi.

Langitan dan senja
Sama biru jingga
Masih.kesunyian kata.

7 November 2010

Aneh

Satu hanya
Mata kau
Rahsia.
Sempurna.

3 November 2010

Saturday, November 6, 2010

Seni itu Racun

Satu masa
ku kunyah
racau seni.

Tarik jantung
ku ke luar
Pecah. Leleh.

Kerana seni. Aku teracun.

6 November 2010

_____________________________________________
*aku suka seni kacau racau*

Terima Kasih

Ku –‘terimakasih’
–kau.

Ialah
ucap ikhlas
sepenuh waras.

Kasih ini
Ku hantar,
Ku sertakan ia
dengan sewajar
doa fajar.

April 2010

_____________________________________________
*puisi terima kasih (syahdu)untuk seorang teman.*

Main Bisik

Kita main
bisik-bisik
dari jauh.

Kau bisik
di negeri sana.
Aku dengar.

Aku bisik
di negeri sini.
Kau dengar?

5 November 2010

_____________________________________________
*puisi simbolis. tentang kekaburan membaca situasi.*

Friday, November 5, 2010

Dalam Teksi

Dalam kereta itu
ada orang besar
Kita kena bagi lalu
bagi hormat.

Orang besar itu
entahkan bayar
atau tidak
cukai jalan.
Kita memang bayar
Tapi. Kena juga bagi lalu.
Bagi hormat.

Orang besar itu
dihurung polis.
Jalan mereka lalu
polis tolong sekat.
Sampai pun cepat.

Kita jalan sekat-sekat
dalam kota sendat.
Mana ada polis
nak cegat-cegat
bantu kita sampai cepat.

Kita bayar
cukai jalan.
Polis tak hurung.

Orang besar
tak bayar
cukai jalan.
Polis hurung.

Warna Kota
5 November 2010

Seniman Jalan

Dirinya seni terpencil
Gementar dan debar kota
Ada dalam muziknya.

Kadang dia berbaur
Menggaul populariti
Dan tradisi
Namun seninya
Ketulusan dari hati.

Penghibur
Pemuzik jalanan
Seni yang terpencil.
Tetap indah.
Rahsia seninya.

Warna Kota
4 November 2010

Thursday, November 4, 2010

Terowong

Terowong hitam
sedang kulalu
Sesak dan esak
memanjang
dan meradang.

Angin keras
halaui aku
dari hancing terowong
Jumpai diri
di lebuh sepi.

Kegelapan luluh.
Satu. Demi satu.

Warna Kota
4 November 2010

Kuantan-KL

Perjalanan
sekadar
tanda
Kesunyian
dari
kata.

Warna Kota
2 November 2010


_____________________________________________
*biasanya kalau aku menaiki bas, akan ada banyak masa dan ruang untuk merenung, meneliti dan memikir; ilham mudah terpercik dan termuntah. bila turunnya dari bas, ilham atau idea akan hilang dan tenggelam di celah-celah manusia yang rencam. kerana itu, untuk perjalanan dari kuantan ke KL ini, aku menyiapkan kertas dan pensil di poket, kalau-kalau ada yang terbit akan mudah terus dicatit. Aku cuba renung, menung, dan tenung; namun kosong. tiada apa apa yang terkeluar. mungkin kerana terlalu bersengaja dan memaksa, sedang ilham itu datangnya bersahaja dan lebih dalam keadaan bawah sedar*

Wednesday, November 3, 2010

Rimba Syahdu

Merenung
kota
dengan
qalbu;
Rimba
batu
dirasa
syahdu.

Warna Kota
2 November 2010

Rasa ke Lima

Satu mata
Terang suram
Dibalam cahaya
Kacau-tenang.

Satu mata
Gelap rahsia
Dalam rahsia
Dalam lara.

Satu mata
dan dua.
Menakung rasa.

Dan. kau.
Mata rahsia.

3 November 2010

Tuesday, November 2, 2010

Lapan Pagi

Warga
kota
tampak
sejahtera;
Deras
lajunya
pembangun
negara.

Warna Kota
2 November 2010

Di Perut Kota

Tersekat di Petaling Street
aku perhati, lama-lama;
Deras kaki manusia,
geletar enjin bas,
hiruk pikuk kendera,
ditahan lampu isyarat.

Lama memerhati
buat ku rasai;
Manusia hanyalah jentera
tanpa nyawa.

Warna Kota
1 November 2010

Gaya Kini

Remaja
penuh aksesori
kosong hati
Dibasuh
lencun kota
Kontang
dari cahaya.

Warna Kota
1 November 2010



_____________________________________________
*Betapa, penampilan cumalah kerisauan dan pembaziran. Pernah juga, aku dulu-dulu sempat tergusar dengan penampilan, takut-takut tak ikut zaman. Kini, aku selesa bersederhana.*

Aku Datang

Ingin ku nikmati
Resah dan payahmu.

Ingin ku resapi
Kacau dan racaumu.

Ingin ku redahi
Hutan batu;
Rimba pilu.

Kuala Lumpur
Ini . aku datang.

Warna Kota
27 Oktober 2010


_____________________________________________
*aku lahir di Kuala Lumpur* :)

Tuesday, October 26, 2010

Tak diizin

Ingin ku jerit
Hingga pecah hati
Hingga retak suara
Hingga remuk duka.

Ingin ku jerit
Jerit
Jerit
Dan jerit
Dan jerit
Jerit lagi
Jerit lagi
jerit.


Tak bersuara.

25 Oktober 2010


_____________________________________________
*tentulah, kerana yang dihadapanku ini orang mulia. aku ini pula kecil-kecil saja.*

Cerita Langit Petang

Jangan dihimpun
laut dukamu
Jangan ditakung
hujan sendumu.

Ini bahuku
untuk kau tangis.
Ini bahuku
untuk kau tangis.

Kalau kau
berduka lagi
Akan aku disisi.

21 Oktober 2010

Monday, October 25, 2010

Puisi di sisi

Semalam dicarinya roh
Dicarinya keikhlasan
Puisi di sisi hati
Syahdu dan puitis
Tak jemu hirup manis.

Puisi disisinya
Tidak lagi di atas kertas
Tidak dakwat. Pena.
Pada akalnya
Puisi ada di mana-mana
Puisi ada di mana-mana.

Hari ini
Barisan dari hati
menakung puisi sufi.

25 Oktober 2010

_____________________________________________
*sudah lama baris-baris ini tercatat tak bernoktah di atas kertas. Terilham, bahawa puisi bukan lah sekadar barisan barisan di atas kertas, ia boleh jadi di mana-mana; asalkan hatilah yang mampu menterjemah dan memaknai*

Saturday, October 23, 2010

Kisah Langit Biru

Hari ini, Akbar,
Hari ini, petir mengoyak langit
—terlihat garang, tapi pedihnya
ku rasai, ia sebenar-benar merintih.

Lara apakah yang
mencandui langit;
Hingga ia terluka
terkoyak oleh duka.
Akan kekasihnya kah?
Akan janji palsunya?
Akan tuduh liarnya?
Kekasih-kekasih lama??

Jika aku, Akbar
Jika aku nan berkata
langit pasti dihurung
helang hampa.
Kerana itu ku diami.
Kerana itu,
Aku diami..

Biar langit biru
Biar langit kelabu
Takkan termampu …

Cukuplah dulu, Akbar.

23 oktober 2010

Friday, October 22, 2010

Kosong Rasa

Ketika pintu menggeletar
Ketika tingkap menangis
Ketika lantai terluka
Ketika tangga bersepi.

Tenanglah.
Tenanglah.
Tenanglah.
Tenanglah
…………………………………

Kita seakan manusia
kosong tanpa rasa.

22 Oktober 2010

Mau Sepi


Ini hari, ku mau sepi

mau sendiri.

Tanpa suara

aku bernyanyi

kata hati

paling hakiki.

Tanpa hati

aku bersuara

senandung sepi

ke bukit sunyi.

Aku menyanyi lagu hiba

aku senandung puisi pilu

aku suara kekata duka

aku bisu. aku sendu.

Ini hari,

ku mau sepi.

Aku mau sunyi.


-K.muhami

6 Mei 2010

Ilham

Bila aku rasai
ia—lampu.

Bila aku rasai
ia—kipas.

Bila aku rasai
ia—buku.

Bila aku rasai
ia—pintu.

Angin ilham
Kini menderu.

21 Oktober 2010

Thursday, October 21, 2010

Bilik Gelap

Pernah ia geletar
dalam sebuah bilik
tanpa kasih sayang.

Tidak ada jendela
Tidak ada cahaya
Yang menyentuhi.

Kerana keseorangan,
Kegelapan itu
rakus mencabulnya.

21 Oktober 2010

_____________________________________________
*Pernah, ketika di rumah lama, terdapat satu bilik yang sangat ceruk terperosok. Malam atau siang, ia tetap dalam kegelapan.*

Monday, October 18, 2010

Tengah Larut Malam

Jangan pecah hati
Dilanggar rindu
Biar pecah akal
Ditabrak exam.

7 Oktober 2010

_____________________________________________
*Perbualan yang mengilhamkan. Masing masing ada taufannya sendiri.*

Dhuha

Demikian kepalsuan
melanggar qalbu.
Rindu yang tersangkut
sayup.
Tak bersahut.

Begitu sepi membisik
bersujud ia kini
di surau sunyi
Rindu dituang seluruh
atas sejadah lusuh.

Tuhan
murnikanlah rindunya.

18 Oktober 2010

Saturday, October 16, 2010

Cinta Baru

Ingin selalu ku dampingi alam
Ingin selalu ku peluk
Ku dakap
Rapat-rapat.

Bercinta dengan alam
Takkan terungkap
Kedamaiannya.

16 Oktober 2010

Friday, October 15, 2010

Yang Berkata. Yang Berasa

Apalah semua kecewa, duka, sendu, dan lesu
Apalah semua rasa itu, jika yang terlukis hanyalah
Kata yang memeta tanpa rasa
Rasa yang tak terpeta dengan kata.

Lukislah seribu laut kata untuk sebuah tasik kecewa
Yang gelora itu, yang berlaut dengan kata,
nyata, tak punya apa-apa pada intinya.

Yang berkata, tak berasa.
Yang berasa, tak terkata.

6 Ogos 2010

_____________________________________________
*Sebuah puisi eksprimental, bersifat percubaan. Bagi aku, takkan ada kata sebenarnya yang mampu menerangkan kesamaran jiwa. Kerana itulah, tika manusia digelorakan dengan rasa yang rencam, takkan mudah baginya melukiskan kembali apa yang dirasainya. Tapi wajar saja pandangan ini boleh ditolak dan diterima, kerana, bahasa itukan keindahan,dan hati sajalah yang mampu merasai keindahan*

Tertekan

Tersentak nadi
Tergigil qalbu
Terluka
yang memecah
kewarasan diri.

Berdarah sukmaku
Waktu petang
tanpa bola.

15 Oktober 2010


_____________________________________________
*hampir tiga bulan tak tendang bola! Tak termampu ku waraskan kegilaan ini*

Masjid Rusila

Bersesak-sesak
Berasak-asak
Setiap saf
dipenuh ketangkasan
Barisan pemuda.

Terpamer wajah gagah;
Tenang bak tasik
tegap bagai gunung,
Bersimpuh
dan bersila
khusyuk mendengar
rahsia pemimpin.

Tiba satu saat;
—Langit pecah
tasik kejut
gunung lebur—
pekikan pemuda
tergegar isi buana.
Tergegar isi buana:

KHAIBAR KHAIBAR
YA YAHUD!
JAISHU MUHAMMAD
SAUFA YA’UD!!!

13 Oktober 2010

_____________________________________________
*terkesan dengan sahutan dan sambutan pemuda-pemuda di Ijtima' Tarbawi Pemuda Pas di Masjid Rusila.*

Wednesday, October 13, 2010

Maaf

Hanya
sesalan
kata
dari
jiwa;

Terimalah,
Lemahku.
Diriku.
Aku.

9 Januari 2010

Masjid Kristal

Megah
dan melilau
tubuhnya;
Hampa
dan kosong
qalbunya.

13 Oktober 2010

_____________________________________________
*begitu keghairahan aku, saat terpegun melihat luarnya. Masuk ke dalam, aku terasa, rohnya pilu dan lesu.*

Gambus

Dentingnya pilu
Dentingnya syahdu

Rasai aku
Resapi aku
Getari aku.

10.10.10

_____________________________________________
*keharuan dan ketenangan menikmati petikan Mounir Bashir dan anaknya, Omar Bashir*

Pemuda Pinggiran

Kau lihat, Akbar, matanya meredup
Mungkin itulah yang teriras dengan jiwanya;
Pemuda pinggiran, awal dua puluhan
Dirinya di taman permainan, berselang-selang
terluka, antara pekikan kanak-kanak, ngauman
mesin rumput, dan cicitan burung—
Seluruh hatinya tenggelam dalam
tasik di hadapan.
Sangat indah,sangat hijau
Tapi dirinya kacau.

Katanya, Akbar:
Sudah letih ku baca hidup ini
Mungkin, aku tua, sebelum usia
Mungkin, aku telah mati
cuma tak berkubur saja.

Begitu resah, begitu lelah dirinya kini
Di antara helaian kertas peperiksaan;
hati-hati perempuan; dan senja
di perantauan; terdampar dirinya
Ke surau yang kosong.
Ia kepiluan.

Cubalah Akbar
Cubalah kau dekatinya
kerana dirinya di tasik itu
masih termengah, antara pekikan
kanak-kanak, ngauman mesin rumput
dan rengekan helang senja.
Langit merah menutupnya.

Temani ia Akbar
Temanilah—ia lelah
bersendiri.

12 Oktober 2010

Monday, October 11, 2010

Sebuah Kalah

Kalah itu pedih
pedih
dan
masih.

Amat sayu
pilu.
Kalah ini
pedih mengilu.

28 Februari 2010

_____________________________________________
*suara duka dan lara, mengenangkan team kesukaan, Man utd dikoyak-koyak Bayern Munchen.*

Wuduk

Dengan hati luhur
Ia wuduk di sumur

Air basuhi muka
Taubat basuhi hati.

Wajah masih basah
Ia siap menyerah.

11 Oktober 2010

_____________________________________________
*dalam berwuduk juga perlu ada 'insaf'*

Sunday, October 10, 2010

Surau Taman

Langit
kian
senja.

Surau
masih
sepi.

10.10.10

_____________________________________________
*mencuba kata yang ringkas untuk visual yang luas*

Senja di Kuburan

Kau tahu, Akbar
Senja ini kepiluan
Dan aku
masih di tengah
kuburan.

Akbar,
Kini ku erti
apa itu sebentar
apa itu abadi.

Di kuburan ini
ia mengajarku
Bahawa insani
pasti berlalu.

Demikian
syahduku,
Akbar.

10.10.10 (10.10 AM)

_____________________________________________
*apakah akan terjalin pengertian di antara senja dan kubur? Yang pasti, senja mengilhamkan syahdu*

Akhir

Betapa
maghrib ini
suatu puaka.

Panggilan
pulang.
Senja
benderang.

Terputus
nyawa..

10.10.10

_____________________________________________
*senja selalu terkait dengan kematian*

Keberangkatan

Terhilang aku
Antara kata
dan kapal terbang.

Jangan ada pelukan
tangisan
Jangan memeluk
ke pintu qalbu.

Ini, pintu akhir
Berdoalah
ketemu lagi.

10.10.10

_____________________________________________
*barangkali, terilham dari kesedihan seorang teman, tidak dapat menghantar adiknya ke lapangan terbang*

Saturday, October 9, 2010

Mencari Cahaya

Senja merah darah
Awan hatiku
mencurah gelisah.

Fajar bermula
tanpa kilau ceria
ke tengah hari
langit yang duka.
Langit yang duka.

Tak terbaca kisah
dosa yang pekat
pada peta hidup
aku yang sendiri.

3 Ogos 2010

_____________________________________________
*Masih teringat, aku kegigilan yang bersangatan hari itu. Mata ku kabur, hatiku pecah berterabur. Hari yang memilukan..*

Dhuha Terakhir

Dalam sayup sayup mentari pagi
Terimbas ia sejenak
Sebuah perahu berlubang
Sekeping hati tersayat.

Dhuha memberinya kesunyian;
Di atas sejadah
Masih dicarinya
Apa itu kehidupan.
Sekejap gelora
Sekejap redup
Dan, rindu mula memeluk.

Pada usia yang lalu
Disesalnya
Kerana sempat dua tiga
hati wanita dicerobohnya
Tak tersengaja—begitu
selalu ia beralasan.

Dan kini, masih dirinya kara
Di surau sepi, disisi kawasan kejiranan.
Kekasih-kekasih lamanya sudah
berumah tangga. Sudah beranak.
Sudahpun menyusun hidup baru.
Dirinya akan cepat tersinggung
mengenangkan itu.

Namun, katanya
Sepi itu keindahan.
Biarlah dirinya kara begitu.
Di atas sejadah, di waktu dhuha
ia mencari makna hidup
terkadang gelora
terkadang redup.

Pedih menyentap jantungnya.
Perlahan-lahan, matanya tertutup.
Sebatang kara. Tanpa isteri.
Tanpa keluarga.

8 Oktober 2010

Thursday, October 7, 2010

Rindu Nusa

Akal diam
Hati bisu
Tubuh suram
disengat rindu.

Ku rindu
Rindu nusa.

18 Julai 2010

Selepas Imtihan

Malam adalah pembunuh
yang mengkafankanku di sianghari
Tragis. Dibungkus selimut kebosanan
Selepas ribut ribut imtihan.

Petang wajarnya menjadi bekal udara
untuk terus bernafas di ruang-ruang sunyi
menendang dan menggelecek dengan
bola-bola persaudaraan. Adakala pecah
menjadi keping keping permusuhan.

13 Julai 2010

Thursday, September 30, 2010

Tanah Air

Rindu dentum kilat
rindu silau petir
rindu hujan lebat
rindu ku kathir.

Rindu dan Malaysia.
Malaysia dan rindu.

16 JUN 2010

_____________________________________________
*tidak aneh jika rinduku menebal kepada hujan Malayia sewaktu melalui hari hari yang melekit di musim panas di daerah Damietta*

Mengarang Alam

Berdiri
di ombak sunyi
memetik tasbihtasbih sufi.

Bersendiri
di ufuk ilahi
kerdil,hati memuji.

Didiri
kata-kata mengagumi;
Maha suci.
Aku insafi.

Menyendiri
bersama ombak.
bersama angin.
bersama pantai.

Tuhan.
ku karangi alam,
ku sembahkan ia
dalam bahasa hati.

4 Mac 2010

Di Tepi Pantai

Menghadap wajah
ke angin laut,
buat ku bisu,
buat ku kaku.

Tiada madah.
tiada bahasa.
tiada apa-apa.
yang ku kenang.
hanya tenang.

Berkali-kalipun
ku hadap ombak,
masih tiada kata
mampu ku karang.

~K.muhami

_____________________________________________
*Puisi ini adalah suara sepintas lalu dan tanpa perasaan yang berat, kerana saya menulis ini ketika minda tengah kosong dibawa bersama angin laut.*

Petang

Awan
kian muram
dilihat petang ia
hitam dan kelam.

Bertempik langit
garang
kilat jadi mata
guruh bersuara
gempita

Gerimis memercik,
menyapa jendela hati
hati membisik hiba:
‘Ilahi, ampuni dosa.’

air mata jatuh
menitis,
…sesal…


18 Februari 2010

_____________________________________________
*Sewaktu petang di akhir musim syita', aku sedang menyendiri. Tiba-tiba hujan mengacau lamunan. Mulanya perlahan, lama-lama ia mengganas dan memercik masuk ke jendela bilik.*

Ragam Pagi Lebaran

Puas sudah
Ku betulkan
Bicara adikku
Masih jua
Ia berkata:
Selamat Hari Raya
Ai ‘nul’ Fitri yang Mulia.

17 September 2010

Rindu yang Pecah

Angin
Jangan hembus perlahan
Kerana itu rindu
Yang pecahkan hatiku.

Hilangkan bayu
Hilangkan sendu
Pergi jauh
dariku..

8 September 2010

_____________________________________________
*angin petang sewaktu sedang bersantai di rumah*

Kawan Rahsia

Sebentar
ku tertanya-tanya
dalam kebingungan
yang dalam
apakah engkau
terkarib dalam hayatku.

Kebingungan ini
ku lepaskan
di antara pelangi
dan curang yang
puaka.

Engkau masih
ku simpan
dalam rahsia.

22 September 2010

Sunday, September 26, 2010

Edul Fitr 2010

Hujan teresak-esak
Di pagi lebaran.

10 September 2010

Puisi dan Wirid Lebaran

Ingin ku tulis
puisi lebaran
tak termampu.

Ku gantikan puisi
menyebut wirid:

‘ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR.’

10 September 2010

Dua Bumi

Beramadhan
di dua bumi
dan aku khusyuk,
menghayati.

4 September 2010

_____________________________________________
*Insani daerah Mesir sangat menghormati Ramadhan. Temasya ibadah subur di mana-mana. Indah dan memikat. Jua, berbuka dan bersahur bersama keluarga di Malaysia—setelah 2 tahun tak bersua—itu sendiri suatu keasyikan yang aneh.*

Friday, September 24, 2010

Senja Pilu

Hatiku parah
Dilanggar rindu.

Luka dan duka
Tak terubat lagi.

Ditalkinkan cinta
Dikafan
kenangan lama.

Begitu ia berlalu
Bagai, senja
Yang pilu.

24 September 2010

Perindu Senja

Senja
sangat
asyik.

Tebal
rinduku.

........

Semoga
tak
terleka.

24 September 2010

Penyesalan

ayah.mak. ini aku yang kelam. ampuni.

ayah mak. ampuni


5 Jun 2010


_____________________________________________
*Sesalan dan kepiluan yang dalam tiba tiba membenamkan aku kepada penyesalan dan rasa pernuh berdosa terhadap ibu dan ayah*

Mimpi Rindu

Di hujung tangga eskulator,
ketika aku berharap,
betul-betul berharap,
ketika itulah dia berpaling sejenak
melihat aku
sambil melambai-lambai
lembut tangannya.

Dan, ku meyakini sendiri,
lambaian itu
bukan salam perpisahan.

9 Jun 2010

Pewira Sunyi

Dia tak mahu dikenal.
Dia hanya mahu berjuang.
Dia perwira dengan bakti.
Bukan dengan kata yang sakti.

15 Jun 2010

Thursday, September 23, 2010

Jangan Rindu

Di sisi sungai
Di tebing tinggi
Ku khusyuk sendiri.

Tiba-tiba
Senja seakan
bersuara

Dalam sayup
dan sepi.
Seperti, katanya;

Janganlah,
Janganlah
kau rindu
aku lagi.

23 September 2010

_____________________________________________
*Rindu yang tak berbalas,mungkin?*

Harum Senja

Ingin ku hirup
harumnya pesan
senja yang resah
Alam yang nyaman.

23 September 2010

Wednesday, September 22, 2010

Rindu

Rindu yang
kau hanyutkan
di muara harapan,
Rupa-rupanya
Masih ia tersangkut
di ranting-ranting
kepuraan.

11 Januari 2010

Main Mata

Kata seseorang:
‘Jangan kau main mata
sama aku.
Takkan mungkin
aku tergoda’

‘Dah,dah!
Pergi mandi tu!
Siapa nak goda kau!’

22 September 2010

Wujud

Detik dua jam
sebelum ujian kehidupan
hatiku menangis.
sepuas-puas.

Dan yang terakhir
selalu ku pinta-pinta
kenapa aku
wujud di sini?

9 Jun 2010

_____________________________________________
*Sekadar rakaman perasaan antara rasa resah,lesu, dan putus asa. *

Mei ini

Gadis tenang. Dermakan
senyum cemerlang
untuk hari ini—
hari indah, dan bersejarah.

Gadis akhir ke-empat;
Sejarah dari Mei setia
berarus—pada dua sendi;
Hari pertama dirimu.
Juga, hari terakhir ayahmu.

Kepada Mei yang silam,
cekal gadis mula diuji.
Kepada ombak kehidupan,
gadis gigih melangkahi.
Pedih. Dan letih. Tapi masih.

Erti hidup pada kasih;
ibu tunggal— ia sempatkan kekata
jerih. Balu sedih. Tersisih.
Namun, nurani ibu—tulennya kasih
mencorak gadis menjadi putih.
Juga, nurani ibu, gadis kini
melangkah fasih, berakal fakih.

Ombak usia kian menyubur
pantai hati—Gadis berazam; ingin
matang dengan tenang. Angin
sentosa cekal dikaut, —
ia mahu bertaut. Kalau mampu,
hingga ke akhir hidup.

Gadis tenang. Mei ini harus
cemerlang—dengan tekad
dan semangat hebat. Suarakan
kekata ilmu, penuh erat disisip
cermat. Tulenkan sisa hayatmu,
dengan bakti, menjadi guru hakiki.

Mei ini,
terimalah—sekadar—
hadiah kekata dariku;

Selamat Hari Lahir.
Selamat, hingga ke akhir.

12 Mei 2010


_____________________________________________
*Puisi hari lahir, untuk seorang sahabat. Antara puisi terpanjang—kalaulah layak dikatakan panjang— pernah ditulis, dan aku terasa sangat terbeban untuk menjadikan puisi ini lebih panjang dari kebiasaan,bahkan, aku sebenarnya mahukan lebih panjang dari yang tertulis ini.

Ziarah Kubur

Peluklah batu nisan
seerat-eratnya
Hingga memeluk
duka hatimu.

12 September 2010

_____________________________________________
*Menziarahi pusara 'Aki' dan 'Wan' di Kampung Bertang, Lipis. Iklim terlalu sunyi, ada sedikit suara-suara aneh dari belantara, jua balam-balam mentari pagi yang cuba mencelah antara pohon pohon besar dan tinggi. Kami sekeluarga bersimpuh di sisi pusara mereka. Hatiku tiba-tiba terusik oleh batu-batu nisan yang terhampar merata-rata.*

Hujan di Lebaran

Hujan tak bicara
Namun
di pagi lebaran
titis ia
memerli
insan sunyi.

10 September 2010


_____________________________________________
*Hujan di subuh hari lebaran tiba tiba mengilhamkan aku kepada sendu yang aneh, seakan-akan rintik perlahannya mengacau jiwaku yang sebenarnya masih berdenyut di antara sepi dan hampa.*

Tuesday, September 21, 2010

Benci Rindu

Ku halusi
Rasa hati yang
Pecah-pecah
Dihempas
Antara
Benci
Dan
Rindu.

Terluka
Terduka.
Sepi.

21 September 2010

Aidilfitri tersangat manis

Tiap-tiap langit mendung
Sedia jadi payung.
Demi Hari lebaran.

Redup dan nyaman.
Cuaca yang memesrakan
Insan rai kemenangan.

Langit mendung
tak hujan.
Ada tanda kemaafan.

9-11 September 2010

Senja Biru

Lama aku tunggu
Senja dalam biru
Biru dalam senja.

Tak terlakar
Rindu yang liar
Nanti kau tunggu
Wajah ku baru.

Duhai manisku
Saksilah kata kata ini
Sebelum senja jadi sepi.

5 September 2010

Inilah, Perindu Senja

Blog ini adalah ruang khusus untuk aku berpuisi secara pantas dan sambil lalu, dan, barangkali jua, rakaman jujur tak tersukat biar diksi tak tepat.

maka, rasmilah, Perindu Senja.

21 September 2010