Kau lihat, Akbar, matanya meredup
Mungkin itulah yang teriras dengan jiwanya;
Pemuda pinggiran, awal dua puluhan
Dirinya di taman permainan, berselang-selang
terluka, antara pekikan kanak-kanak, ngauman
mesin rumput, dan cicitan burung—
Seluruh hatinya tenggelam dalam
tasik di hadapan.
Sangat indah,sangat hijau
Tapi dirinya kacau.
Katanya, Akbar:
Sudah letih ku baca hidup ini
Mungkin, aku tua, sebelum usia
Mungkin, aku telah mati
cuma tak berkubur saja.
Begitu resah, begitu lelah dirinya kini
Di antara helaian kertas peperiksaan;
hati-hati perempuan; dan senja
di perantauan; terdampar dirinya
Ke surau yang kosong.
Ia kepiluan.
Cubalah Akbar
Cubalah kau dekatinya
kerana dirinya di tasik itu
masih termengah, antara pekikan
kanak-kanak, ngauman mesin rumput
dan rengekan helang senja.
Langit merah menutupnya.
Temani ia Akbar
Temanilah—ia lelah
bersendiri.
12 Oktober 2010
No comments:
Post a Comment